Tuesday, 8 January 2013

Salah ke Tinggal Solat???

Semua orang yang mengaku beragama Islam sebenarnya sedar tentang kewajipan melakukan solat. Namun, ramai yang kesedarannya hanya bermain di hujung lidah sahaja. Tidak turun ke hati dan dizahirkan dengan perbuatan.

Maka, bukan suatu yang ganjil sekiranya kita dapati orang yang beragama Islam, namun gagal mendirikan solat. Mungkin kerana malas ataupun jahil akan akibatnya.

Sekiranya Islam itu diumpamakan sebagai rumah, maka tiang yang menjadi tunjang kepadanya ialah solat. Demikianlah perumpamaan yang telah dibuat oleh Rasulullah SAW dalam menyatakan peri pentingnya solat dalam kehidupan beragama seseorang muslim.

Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Solat itu tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama dan sesiapa meninggalkan solat dia telah meruntuhkan agama”. (riwayat Baihaqi)

Justeru, sesiapa yang meninggalkan solat walaupun mengerjakan ibadah-ibadah yang lain seolah-olah memiliki rumah yang indah dan mewah, tetapi tidak mempunyai tiang yang kukuh untuk menjaminnya kekal teguh.

Maka, lama-kelamaan rumah tersebut akan runtuh dan musnah menyembah bumi. Perumpamaan ini begitu signifikan sekali sekiranya dikaitkan dengan realiti masyarakat Islam yang ada pada hari ini.

Bukan sedikit yang meninggalkan solat walaupun tetap melakukan ibadah yang lain seperti menunaikan zakat dan berpuasa di bulan Ramadan.

Sebahagian mereka pula pada umumnya tidak meninggalkan solat, tetapi lalai serta alpa dalam mengerjakannya dengan kata lain suka melengah-lengahkan solat dan bersolat di akhir waktu.

Sebahagian lagi walaupun mendirikan solat namun gagal untuk menumpukan hati dengan penuh khusyuk dan tawaduk ketika melakukan solat. Solat hanya menjadi rutin biasa dalam kehidupannya tanpa memberikan kesan yang positif kepada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Bahkan, semakin hari mereka semakin jauh dari agama Allah SWT. Akhirnya, di atas kealpaan dan kelalaian ini, maka mereka digolongkan dalam neraka bersama dengan azab yang tidak terperi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Kecelakaanlah bagi orang yang solat, iaitu orang yang lalai daripada solatnya. (al-Maa’un: 4-5)

Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang. (al-Muddathir: 43)

Meninggalkan solat merupakan dosa yang boleh menghampirkan seseorang itu dengan kekufuran. Ini adalah kerana, solat adalah penghubung seseorang hamba kepada penciptanya.

Sekiranya solat tidak dikerjakan, maka terputuslah hubungan dengan Allah SWT. Bukti seseorang itu masih beriman kepada Allah SWT ialah solat. Ini dapat dilihat dari firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak ada tuhan selain Aku. Dan dirikanlah solat itu semata-mata untuk mengingati Daku. (Taha: 14)

Bahkan, ada beberapa hadis yang menyatakan bahawa seseorang itu boleh dianggap kufur sekiranya meninggalkan solat. Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a menyatakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Antara seorang lelaki Muslim dengan syirik dengan kufur kepada Allah, ialah solatnya yang ditinggalkan. (riwayat Muslim)

Hadis lain yang memperkatakan tentang kekufuran akibat meninggalkan solat dengan sengaja asalah: “Perjanjian antara kami dengan mereka itu adalah solat, maka sesiapa yang meninggalkannya, maka kufurlah dia”.

Namun, terdapat perbezaan pandangan di kalangan para ulama berhubung hukum meninggalkan solat dengan sengaja, sama ada kufur atau berdosa besar.

Pandangan-pandangan ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu:

1. Golongan pertama berpandangan bahawa orang yang meninggalkan solat secara sengaja, namun tidak mengingkari tentang kewajipannya dikira sebagai berdosa besar (fasiq). Tetapi dia tidak dianggap kafir.

Sebaliknya, orang yang meninggalkan solat dalam keadaan dia menafikan kewajipannya akan dianggap sebagai kafir.

2. Golongan kedua pula berpandangan bahawa meninggalkan solat secara sengaja atau malas boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kafir, bukan berdosa besar.

Justeru, orang yang meninggalkan solat itu perlu untuk mengucap kalimah syahadah semula dan bertaubat dengan dosa kekufuran tersebut.

Daripada kedua-dua pandangan ini, pandangan pertama dilihat lebih tepat. Ini kerana, perkataan kufur atau kafir dalam hadis-hadis tersebut bermaksud melakukan dosa besar.

Walaupun begitu, ini bukanlah bermaksud kita boleh meninggalkan solat sewenang-wenangnya. Ia tetap dosa besar dan boleh mengundang murka daripada Allah SWT.

Solat yang ditunaikan secara sempurna seperti yang disunnahkan oleh Rasulullah SAW menjadi asas penting kepada kecemerlangan didunia dan di akhirat.

Menerusi solat seseorang itu dididik dan dilatih agar sentiasa mengingati Allah, memperbanyakkan zikir, istiqamah dengan amalan soleh, berdisiplin dengan waktu, menjauhkan kemungkaran dan sebagainya.

Pendek kata, dengan mendirikan solat dan menghayati makna di sebalik solat itu menjadi asas kepada kebahagiaan hakiki di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment

ASMA UL HUSNA

Recent Comments